Apa itu KSSR

Apa itu KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah( KSSR ) berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri,  kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan.  KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).

Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
- Warganegara yang bertanggungjawab
- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
- Pekerja berilmu
Prinsip KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana masih sesuai dan relevan untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik.  Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:

PendekatanBersepadu
Tumpuan utama diberikan kepada pendekatan bersepadu. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

Perkembangan Individu Secara Menyeluruh
KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi keperluan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap potensi murid dikembangkan secara bersepadu.

0 comments:

Post a Comment